Harian Metro, Jumaat 03 Ogos 2007
http://www.bharian.com.my/Current_News/HM/Friday/Setempat/20070706104112/Article/indexm_html
KOTA BHARU: Seorang wanita warga Uzbekistan menitiskan air mata selepas didakwa melacurkan diri dan berada di negara ini walaupun pas lawatan sosialnya sudah tamat tempoh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Elena Ismatova, 28, mengalirkan air mata sejurus dibawa keluar dari kandang tertuduh dan terpaksa ditenangkan rakannya, Oynur Djantureva, 27, yang turut dituduh melacurkan diri.
Oynur dan Elena didakwa melakukan kesalahan mencari pelanggan bagi tujuan pelacuran kira-kira jam 10.30 malam pada 25 Jun lalu di sebuah rumah tanpa nombor di Taman Azam, Jalan Long Yunus dan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372, Kanun Keseksaan.
Elena turut dituduh melanggar peruntukan mengikut Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4), akta sama kerana pas lawatan sosialnya tamat tempoh.
Berikutan itu, Majistret, Ahmad Faiz Munawar, menetapkan 9 September ini untuk sebutan jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap Oynur dan Elena itu.
Ahmad Faiz turut menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan jurubahasa terhadap Elena kerana berada di negara ini selepas pas lawatan sosialnya tamat tempoh.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang `bapa ayam' mengaku bersalah kerana melacurkan Oynur dan Elena.
Lelaki terbabit, Wee Kian Hoo, 45, turut mengaku bersalah kerana melindungi Elena yang berada di negara ini walaupun pas lawatan sosialnya sudah tamat tempoh.
Wee dituduh dengan sengaja hidup atas pendapatan Oynur dan Elena yang melacurkan diri.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372 (A)(1) Kanun Keseksaan.
Dalam pertuduhan pilihan terhadapnya, Wee didakwa melindungi Oynur dan Elena bagi tujuan ditawarkan untuk pelacuran mengikut Seksyen 372 (1)(C) Kanun Keseksaan.
Dia turut didakwa melindungi Elena yang berada di negara ini selepas pas lawatan sosialnya tamat tempoh.
Wee dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Seksyen 56(1)(bb) akta yang sama.
Ahmad Faiz kemudiannya menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh mengemukakan fakta kes dan hukuman terhadapnya.
Majistret juga menetapkan wang jaminan RM8,000 terhadap lelaki itu dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Mislah.
Oynur dan Elena yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak ditawarkan jaminan dan akan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa sementara menunggu tarikhnya dibawa ke mahkamah semula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment